‘Walk-in’ vaksin: Pelajar IPT hanya perlu tunjuk kad matrik

Lebih 200,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang belum divaksin, kini boleh berbuat demikian secara ‘walk-in’ di pusat pemberian vaksin (PPV).

Demikian jaminan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba sebagai mengulas isu ramai pelajar IPT awam dan swasta di negara ini yang tidak daftar vaksinasi.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah buat keputusan untuk membenarkan para pelajar terbabit untuk datang ‘walk-in’ di PPV dengan syarat tunjuk kad matrik sah,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas secara rasmi dengan penyandang sebelumnya, Khairy Jamaluddin yang juga bertukar portfolio sebagai Menteri Kesihatan baharu.

Terdapat 20 buah IPT awam dan lebih 30 IPT swasta selain 10 kampus cawangan universiti luar negara serta puluhan kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta beroperasi di negara ini.

Dianggarkan lebih 700,000 pelajar menuntut di semua IPT awam manakala lebih 600,000 di IPT swasta seluruh negara yang berusia antara 18 tahun sehingga 24 tahun.

“CITF sudah menerima rekod dari Kementerian Pengajian Tinggi yang menunjukkan seramai 547,595 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara sudah pun lengkap vaksin,” katanya.

Angka ini mewakili 53.2 peratus tetapi semakan kementerian itu juga mendapati lebih 195,000 atau 37.5 peratus pelajar IPT awam langsung tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksinasi.

Jumlah tersebut, tambah Adham, adalah lebih tinggi berbanding pelajar IPT swastayang tiada rekod pendaftaran imunisasi iaitu lebih 51,000 atau 10.2 peratus sahaja setakat ini.

“Saya berharap usaha CITF dan pihak kementerian tersebut memberi kesedaran berhubung kepentingan vaksinasi yang perlu dipertingkatkan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Sabah muncul sebagai negeri yang menerima dos vaksin Covid-19 paling tinggi sepanjang minggu lalu iaitu melibatkan sejumlah 2.83 juta dos.

Ini ujar beliau, diikuti Johor yang merekodkan sebanyak 2.01 juta dos sebelum disusuli Perak (1.67 juta), Kedah (1.4 juta) dan Pahang (1.39 juta) dalam senarai lima negeri yang tertinggi.

Beliau turut mengesahkan program vaksinasi khas untuk banduan institusi penjara selain depoh tahanan imigresen di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Langkah itu bakal diumumkan kelak susulan banyak kes jangkitan baharu direkodkan selain beberapa penjara terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketika ini terdapat sejumlah 33 buah penjara diuruskan Jabatan Penjara Malaysia serta 15 depoh tahanan pendatang asing tanpa izin yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia.

– UTUSAN

Leave a Reply