RUU pecat Ahli Parlimen dapat kembalikan mandat kepada rakyat – Azalina

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 yang dibawa beliau sebagai satu keperluan untuk memberikan kembali kuasa kepada rakyat.

Katanya, RUU ini juga sebagai pengikat kepada mana-mana ahli Parlimen untuk tidak bertindak mengikut kepentingan sendiri termasuk perbuatan melompat parti.

“Melalui RUU ini pengundi di kawasan tersebut boleh mewujudkan satu petisyen kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Selepas itu SPR akan mengeluarkan petisyen pemecatan, kemudian panggil balik berapa peratus yang mahukan pilihan raya.

“Bagi saya ini merupakan satu sistem untuk kembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya pada program bertajuk RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021: Kenapa & Mengapa? di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Menurut bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Pengerang itu lagi, melalui akta ini juga akan dapat mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dan dapat menggelakkan pertukaran kerajaan akibat tindakan ahli Parlimen yang melompat parti.

“Tapi bagi saya yang paling penting adalah kita mahukan kestabilan pada platform politik Malaysia. Kalau tidak tukar kerajaan, lompat-melompat ini kelam-kabut rakyat dibuatnya.

“Sebab bagi saya berjaya atau tidak sesuatu kerajaan itu biar rakyat yang menilai dan yang menghukum sebab hendak tukar pun bukan perkara yang mudah.

“Kalau tukar Perdana Menteri dan diganti dengan blok yang sama bagi saya tidak ada masalah sebab kesinambungan dasar itu ada kerana ianya lebih praktikal,” ujar beliau.

Pada Khamis, Azalina memaklumkan telah menghantar notis usul kepada Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

Katanya usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen yang dicadangkan selari dengan inisiatif ‘Anti Lompat Parti’ yang sedang diusahakan kerajaan.

Dilaporkan, sejak PRU-14, sebanyak 39 Ahli Parlimen telah melompat dari parti asal ke parti lain sama ada dalam kerajaan atau pembangkang yang memberi kesan besar kepada landskap politik negara.

– UMNO ONLINE

Leave a Reply