Projek infra rakyat akan dibangunkan sepenuhnya pacu ekonomi negara – Wee

Kerajaan akan memastikan projek infra rakyat seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) dapat dibangunkan sepenuhnya untuk membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada negara.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi catatan di Facebook rasminya berkata kerajaan sentiasa mendengar suara semua pihak dan berusaha mencapai keseimbangan antara kesihatan, masyarakat dan ekonomi, melalui pengumuman Belanjawan 2022 yang komprehensif dan inklusif.

Beliau berkata ia selari dengan semangat Keluarga Malaysia demi membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

Saya berpendapat bahawa masyarakat juga harus bersedia untuk hidup bersama COVID-19 pada masa depan kerana pandemik ini telah mengubah kehidupan harian kita, pelbagai ekosistem industri dan trend pembangunan.

“Oleh itu, kita akan meneruskan pemantauan terhadap pembangunan pasaran, melaksanakan dasar-dasar mesra pelabur asing serta membantu dalam pemulihan dan merangsang industri tempatan,” katanya.

Sementara itu, Wee yang juga Presiden MCA berkata beliau telah mengadakan perbincangan secara maya bersama kepimpinan baharu Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) bagi membincangkan mengenai pelbagai perkara termasuk Belanjawan 2022, semalam.

Menurut beliau, ACCCIM mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak hanya fokus kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN), sebaliknya perlu juga menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani pandemik COVID-19.

“Kerajaan juga digesa supaya lebih telus dan menyediakan statistik yang berkenaan, menambah baik sistem kesihatan negara serta memperkukuh kemampuan negara untuk menghadapi pandemik,” katanya.

ACCCIM antara lain mencadangkan kerajaan agar memperkenalkan pelbagai subsidi atau bantuan serta pengurangan dan pengecualian cukai bagi meringankan beban rakyat dan perusahaan.

Turut serta dalam perbincangan itu adalah kepimpinan tertinggi ACCCIM termasuk presidennya merangkap Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Datuk Low Kian Chuan dan Presiden Kehormat Seumur Hidup ACCCIM Tan Sri William Cheng Heng Jem.

Leave a Reply