Malaysia beri bantuan Covid-19 kepada Indonesia

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini menyerahkan bantuan peralatan dan bekalan perubatan berkaitan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 kepada pemerintah Indonesia.

Sumbangan secara simbolik disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono di Pangkalan Udara Subang, Selangor yang turut dihadiri Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyelia urusan pengangkutan ke republik berkenaan.

Bantuan itu dihantar dengan menggunakan sebuah pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) model C-130 Hercules dan akan diteruskan lagi secara berperingkat.

Antara bantuan yang diberikan adalah melibatkan barangan penting berupa kontena tangki ISO dengan oksigen cecair, pemampat oksigen, ubat-ubatan terapeutik dan pelbagai alat perubatan lain yang boleh dilupuskan.

Saifuddin dalam ucapannya memberi jaminan meneruskan kerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN dan rakan antarabangsa lain dalam menangani Covid-19.

Beliau berharap bantuan itu bakal mempercepatkan usaha pemulihan daripada pandemik tersebut selain menyatakan komitmen dalam mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala.

Leave a Reply