Kerajaan tidak dikuasai parti akan berakhir melalui PRU

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat, keadaan janggal kerajaan tidak dikuasai oleh parti akan segera berakhir melalui Pilihan Raya Umum (PRU).

Mohamad Khaled percaya negara sangat memerlukan kestabilan politik mengatasi segala perkara lain.

Beliau berkata, keadaan janggal berlaku apabila UMNO dan kerajaan menjadi dua entiti dengan kebebasan, pendirian dan haluan yang tersendiri.

Katanya, kita boleh menjangkakan bahawa UMNO akan mendukung kerajaan selagi pendirian kerajaan itu mengangkat kepentingan dan kebaikan umum serta tidak bercanggah dengan aspirasi parti.

“Untuk mengatasi situasi kurang ideal di mana kerajaan tidak dikuasai oleh parti, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi pencerahan bahawa jalan terbaik ialah mengadakan PRU.

“Mengikut kenyataan Presiden, ia mesti diadakan sebaik sahaja Malaysia memasuki fasa endemik dan apabila kadar vaksinasi telah mencapai keadaan wajar dan munasabah untuk melakukan PRU dengan selamat.

“Dalam hal ini lebih 80 negara telah melaksanakan PRU semasa pandemik dan Malaysia tidak boleh terkecuali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden UMNO berkata, dua mandat besar akar umbi diamanahkan kepadanya dan kepemimpinan parti itu melalui ketetapan Perhimpunan Agung UMNO serta Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata, mandat besar yang pertama diterimanya adalah kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat sehingga PRU-15.

“Justeru, sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat MT lepas dan berpedomankan Titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok (herd immunity) dicapai, maka PRU-15 perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperoleh untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil,” ujarnya.

Mohamad Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, bagi menghadapi PRU, semua persediaan adalah tanggungjawab parti dan hanya budi bicara parti.

Jelasnya, penentuan kerusi, manifesto, pemilihan calon dan sebagainya adalah urusan parti dan tidak seharusnya ada campur tangan.

“Yang jelas, Presiden memberi komitmen bahawa parti akan menggunakan segala masa yang berbaki untuk menyediakan diri menghadapi PRU. Ia akan cuba menang di semua kerusi tradisinya.

“Kerusi UMNO yang ditandingi dalam PRU-14 akan terus menjadi kerusi UMNO untuk PRU-15. Ini adalah perkara yang jelas. Tiada kompromi tentang perkara tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply