Kemasukan ke IPT secara berperingkat bermula 15 OKT ini – Noraini

KUALA LUMPUR: Kemasukkan pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang sudah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin, dibenarkan masuk ke kampus bermula 15 Oktober ini secara berperingkat.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata perkara itu adalah tertakluk kepada kapasiti institusi pengajian tinggi (IPT), dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ini adalah satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti kelompok di dalam kampus.

“Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan,” katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT secara maya, hari ini.

Beliau berkata keputusan kemasukan secara fizikal dibuat setelah mengambil kira input daripada sesi libat urus bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pengurusan IPT merangkumi naib canselor, timbalan naib canselor, wakil persatuan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Majlis Perwakilan Pelajar serta kesatuan dan persatuan pelajar IPT.

Noraini dalam sidang media itu turut mengumumkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara di university awam bagi semester satu sesi 2021/2022, yang bakal memanfaatkan 555,340 pelajar melibatkan RM175 juta.

Leave a Reply