Kali Ini Tidak Boleh Retorik, Segala Pengumuman Bantuan, Sokongan Perlu Segera – Ahmad Zahid

Kali ini tidak boleh retorik kerana segala pengumuman berhubungan bantuan dan sokongan perlu sampai terus dengan segera ujar Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana kesan kerosakan ekonomi akibat impak pandemik COVID-19 terhadap Malaysia yang sangat besar.

Katanya, ekonomi Malaysia dijangka hanya berkembang antara 3.0 hingga 4.0 peratus bagi keseluruhan tahun ini iaitu lebih rendah berbanding unjuran awal antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus.

“Itu pun dengan sasaran semua negeri telah beralih ke Fasa 4 PPN menjelang November 2021. Bermaksud masih ada rakyat akan berdepan kesulitan walau selepas sektor ekonomi dibuka sepenuhnya, terutama yang terkesan teruk akibat pandemik seperti kehilangan perniagaan atau pekerjaan.

“Golongan peniaga misalnya akan berdepan cabaran memulakan perniagaan baharu atau memulihkan perniagaan sedia ada.

“Golongan pekerja memerlukan tempoh untuk menstabilkan kewangan dan memulihkan kehidupan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal ini.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu lagi , secara umum mereka ini perlukan lebih masa untuk bangkit daripada kesan kemusnahan akibat perang COVID-19.

“Jika golongan ini mendapat layanan sama seperti mereka yang kurang terkesan, pasti sukar untuk ‘kembali berdiri’.

“Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk moratorium bayaran untuk golongan ini dilanjutkan lagi selepas tempoh enam bulan sedia ada berakhir.

“Begitu juga dengan bantuan perniagaan dan pencarian pekerjaan oleh agensi kerajaan perlu diperkasakan untuk membantu mereka,” katanya lagi

 

Leave a Reply