JaPen perlu cari inisiatif baharu, tukar gaya bekerja di era Pandemik – Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia perlu mencari inisiatif baharu di zaman pandemik COVID-19 dan menukar cara bekerja daripada komunikasi secara bersemuka kepada penggunaan media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar musa membuat gesaan itu bagi memastikan maklumat seperti bantuan kerajaan kepada rakyat dapat disampaikan dengan lebih pantas.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian dalam satu ciapan di akaun Twitter miliknya, pada Jumaat.

Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula menambah, JaPen perlu memainkan peranan penting untuk lebih peka akan keperluan semasa bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan hari ini.

“Komunikasi dua hala menjadi kunci untuk menerangkan kepada rakyat tentang cara terbaik untuk memahami setiap dasar dan inisiatif kerajaan yang sememangnya mendahulukan rakyat dari setiap sudut tidak kira menerusi aktiviti turun padang mahupun penerangan secara digital.

“In-Sya-Allah dengan kerjasama semua warga JaPen di seluruh Malaysia, saya percaya Keluarga Malaysia yang menjadi hasrat utama Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan menjadi kenyataan,” ujarnya.

Leave a Reply