GoCare lancar program ‘dropshipping’, sasar bantu 1000 penganggur dengan kerjasama 20 syarikat

Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan GoCare, bersempena dengan kempen Prihatin Pandemik, telah melancarkan program ‘dropshipping’ melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat pembekal pelitup muka, kuih bulan, cecair pembasmi kuman dan lain-lain dalam melakukan jualan amal bagi membantu keluarga-keluarga ibu bapa tunggal serta para penganggur menambahkan pendapatan mereka.

Sasaran peringkat pertama adalah 20 syarikat, bagi membantu 1000 individu yang kurang bernasib baik.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata, program ini membolehkan golongan asnaf, terutamanya keluarga ibu bapa tunggal dan penganggur menjadi ejen dropship untuk memperolehi komisyen daripada jualan yang dibuat.

Ejen-ejen ini tidak perlu menyimpan stok mahupun menguruskan penghantaran barangan, tetapi hanya perlu mencari pelanggan melalui kenalan dan platform media sosial termasuk aplikasi WhatsApp serta lain-lain. Pembekal akan menguruskan proses seterusnya setelah menerima pesanan, dan komisyen akan dikira berdasarkan unit barangan terjual.

Ketua CRSM Kebangsaan Dato’ Natalie Lim Chong Ly berkata, bersempena dengan kempen Prihatin Pandemik, selain mengagihkan barangan keperluan, GoCare juga berusaha membantu menyelesaikan masalah pembelajaran, penggajian serta lain-lain masalah kehidupan seharian melalui siri aktiviti #BeMYHero.

Selain itu, Hunt Zone yang dilancarkan oleh GoCare#BeMYHero sebelum ini, bertujuan menyediakan sebuah platform menang-menang dengan membantu majikan mencari pekerja serta membantu mereka yang memerlukan mendapatkan pekerjaan.

Dengan situasi pandemik Covid-19 yang semakin meruncing, pelbagai industri sedang menghadapi keadaan yang sangat mencabar. Justeru, Hunt Zone  telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak bagi melancarkan 4 program utama, iaitu program transformasi perusahaan, pemadanan pekerjaan, penjualan dalam talian serta pendidikan dan tambah nilai, bagi membantu orang ramai dan syarikat-syarikat yang berkeperluan secara komprehensif.

“Diharap siri aktiviti yang dianjurkan oleh Hunt Zone ini dapat membantu orang ramai dan syarikat-syarikat secara komprehensif untuk menghadapi keadaan sukar begini. Kami berharap lebih banyak syarikat akan menyertai program ini. Selain itu, kami juga menyeru lebih ramai individu dan syarikat dapat bersama kami dalam program dropshipping.”

Untuk keterangan lanjut, sila layari: https://gocare.org.my/product/gocarebemyhero-companydoctor/
GoCare akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang berlainan untuk menjayakan program dropshipping, syarikat-syarikat yang telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk Callie Mask, Ast Chemical Groups, Savelives, Uncle Lua Durian, Oversea mooncake dan sebagainya. Keterangan lanjut akan diumumkan melalui platform media sosial GoCare.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi ejen dropshipping GoCare, bolehlah melayari https://gocare.org.my atau laman Facebook LetsGoCare; Instagram: gocare.org.my, menghantar emel kepada gocare.org.my@gmail.com atau menelefon hotline 019- 669 6278.

Leave a Reply